Jiwa Merdeka

Di atas robohan kota MELAKA,
Kita bangunkan JIWA MERDEKA,
Bersatulah MELAYU seluruh baka,
Membela hak keadilan PUSAKA.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy
(Kota Melaka, 1946)

Wednesday, July 08, 2009

Selasa 9 Julai 2009

Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar pada hari pertama kelas tambahan bagi pelajar Tingkatan Lima sekitar DUN Sri Setia.

Saya mengajar subjek sejarah. Kini mempunyai lebih kurang 40 pelajar dan bergelar "Cikgu Akmal". Apabila berhadapan dengan pelajar ini, sedikit sebanyak memberi isyarat kepada hati bahawa sebenarnya ramai lagi yang memerlukan bantuan/perhatian.

Masa depan mereka tiada siapa yang tahu kecuali Yang Maha Berkuasa.

Untuk kelas minggu hadapan, mereka mencadangkan agar membincang mengenai subjek sejarah tingkatan empat, bab satu. Jadi kena buat persiapan dan sedikit nota untuk diberikan kepada pelajar-pelajar.

Sempat membuat soal selidik ke atas pelajar tadi. Ramai berpendapat subjek sejarah membosankan dan sukar untuk mengingati fakta, nombor dan nama.

Saya menerangkan kepada mereka bahawa mereka berpendapat sedemikian adalah kerana tidak merasakan sejarah adalah sebahagian daripada hidup mereka. Sejarah bagaikan isolasi.

Hari ini hari terakahir seorang RA bekerja dengan Penyelia. RA berkenaan kini mendapat pekerjaan sebagai guru di sekolah swasta sekitar Subang Jaya.

Penyelia pula hari ini sibuk berjumpa dengan pelajar-pelajar dia. Ada semacam rasa bahawa saya ini bukan tergolong sebagai pelajar malah sebagai 'pekerja/subordinate'.

Sempat cetak tiga jenis borang. Borang Rancangan Ekonomi Kedua, Borang Sambungan GRAS dan Borang Tunda Semester. Yang mana satu pilihan daku?

Tuesday, July 07, 2009

Isnin (6 Julai 2009)

Hari ini (Isnin, 6 Julai 09) datang ke pejabat agak lewat - sekitar 9:45 pagi. Akhirnya 'bercakap' juga dengan penyelia namun cakap yang biasa. "Mana Ju?", "Ni ada resit. Buat claim", "Nanti saya turun solat zohor", dan aku hanya mengiyakan dan angguk.

Percakapan yang 'biasa' sahaja. Hari ini juga UM penuh dengan pelajar. Sama ada pelajar baru (Freshie) atau pelajar lama (ikut semester). Semakin hiruk pikuk dan penuh sesak! Bagai berada di pasar malam. Keadaan yang tidak gemar bagi saya untuk berada dalam situasi berkenaan.

Tetapi bila lihat pada air muka pelajar-pelajar, saya cuba berfikir apa perasaan mereka. Apa yang mereka rasa dan apa akan jadi dalam sepuluh atau dua puluh tahun yang akan datang pada mereka. Juga apa harapan dan impian mereka sewaktu bergelar pelajara atau mahasiswa/i.

Satu keadaan yang saya sendiri pernah lalui. Namun dapat rasakan bahawa keadaan mereka berbeza.

Tiba di UM, dapat sms daripada Abu Helmi. Katanya ada di perpustakaan tengah meneliti bahan mikrofilem. Balas kembali sms yang dihantar, "Bagi aku hantar barang dulu dan siapkan urusan di pejabat. Nanti aku datang".

Rupa-rupanya, ada dua artikel yang perlu diedit! Walhal dah edit minggu lepas namun barangkali saya terlupa nak 'save'. Jadi file berkenaan hilang begitu sahaja! Apalah nasib 'aku' labu....

Dengan gagah terpaksa melakukan sekali lagi dan berjaya menyiapkan di sebelah tengah hari. Abu Helmi ajak keluar makan di luar. Pada mulanya bercadang nak makan di sekitar Jaya Supermarket atau Masjid Bulat, tetapi saya fikir pada pagi tadi, mak ada masak nasi dan beberapa lauk dan kuah. Lantas saya bawa Abu Helmi makan di rumah.

Mak pun masak nasi dan kami solat di rumah. Dalam pada masa yang sama berborak dengan Abu Helmi mengenai perancangan masing-masing dan peluang yang ada. Jelas sekali peluang yang ada pada Abu Helmi lebih cerah dan terancang. Berbanding dengan saya yang agak 'kabur' dan 'malap'. Apa yang pasti, bagi sesiapa yang nak melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana kena befikir semasak-masaknya dan berdoa agar tidak ada perkara yang 'mengejut' berlaku sewaktu tempoh pembelajaran.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa akan ada faktor 'X' yang wujud dan menyebabkan seseorang itu tidak dapat menyiapkan tesis atau habis belajar.

Bagi saya, faktor yang paling utama adalah diri sendiri dan penyelia. Jikalau kedua-dua tidak dapat berfungsi dengan baik dan lancar, maka akan menghadapi kesulitan - khususnya kepada pelajar. Penyelia langsung tidak akan ada aspek negatif kerana merek sudah ada pekerjaan tetap dan skop pekerjaan yang sedia ada. Tetapi bagi pelajar pula, mereka tidak ada lagi pekerjaan tetap dan mengharapkan ehsan penyelia atau orang lain (barangkali yang mempunyai dana dan sebagainya).

Petang pula mendapat panggilan telefon daripada Saifullah. Kami keluar makan bersama di 228.

Alhamdulillah program JAYA berlangsung dengan jayanya. Walaupun terdapat kesulitan dan sekolah tertentu yang kami harapkan tidak dapat menghantar peserta, namun program tersebut mencapai objektif.

InsyAllah esok (Selasa, 7 Julai o9) saya akan mengajar kelas tambahan di sekitar Sri Setia. Ajar subjek sejarah dan telah pun diberikan beberapa buku untuk diajar. Mendoakan segalanya berjalan dengan lancar.

Niat adalah ingin menolong adik-adik yang memerlukan bimbingan.

Ada sebilangan manusia yang hidupnya ingin bermewah-mewah. Gaji nak banyak dan ingin berbelanja besar. Namun ada segelintir manusia pula yang ingin hidup sederhana dan ala kadar. Bermaksud, jika ingin menolong orang lain, kita perlu menolong diri sendiri dahulu.

Dalam pada masa yang sama, saya dapat tawaran untuk menulis di Siasah mengenai 'Harapan Pakatan Rakyat'. Tetapi menurut Tuan Zain, beliau ada meminta Dr. Amer tulis namun sekiranya beliau tak dapat, mungkin saya boleh memberi pandangan. Walau apa pun saya berterima kasih atas pelawaan Tuan Zain.

A.Ali pun ada buat tawaran menulis namun biarlah rahsia dahulu. Keadaan sendiri pun tidak menentu dan masih mencari arah tertentu.

Harap dan doa agar esok lebih baik daripada semalam.

Saturday, July 04, 2009

Kenduri Kahwin

Tiada yang lebih indah dan aman apabila berada di kampung. Pagi tadi menghadiri kenduri kahwin dua pupu aku, Azwan Effendi di Meru, Ipoh, Perak.

Teringat sewaktu nak mengambil keputusan berhenti atau tidak ketika kerja dengan *** (perlu dirahsiakan). Dan keadaan yang sama aku rasakan sekiranya nak meneruskan dengan pengajian sarjana atau tidak...Dunia sememangnya berputar!

Cukup pukul 5 petang nanti, seminggu aku tidak bercakap dengan penyelia aku. Mungkin sudah tidak sehaluan dan masing-masing dengan kepala sendiri.

Kena balik kampung sebab pakcik aku nak balik kerana nak bawa opah ke kenduri. Pakcik aku tak ada teman nak bawa kereta dan bantu dia. Jadi aku kena buat pilihan....

Minggu ni aku ada tiga acara. Pertama, program Nadwah JAYA. Kedua, PRK Manik Urai. Dan ketiga, kenduri sepupu aku.

Keputusannnya adalah kini aku ada di kampung.

Thursday, July 02, 2009

2 Julai 2009 (Rabu)

Sejak kebelakangan ini saya tidak berapa stabil - emosi, mental dan fizikal. Bila hal ini berlaku, segala pekerjaan tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Termasuklah apabila hendak menulis, membaca dan berfikir.

Apabila mengalami tekanan, pada kebiasaannya saya akan menonton televisyen (Astro) atau tidur. Tetapi tabiat ini boleh dikatakan tabiat baru apabila saya mula tinggal di rumah (di Petaling Jaya). Tabiat ini tidak saya alami sewaktu menuntut di UIA. Ini mungkin dapat dikategorikan sebagai faktor keadaan atau 'alam sekeliling' yang membentuk tabiat baru saya ini.

Apabila bermuhasabah tentang diri ini, rupa-rupanya amalan kerohanian tidak meningkat malah berkurangan.

1 Julai 2009 (Rabu)

Awal pagi 1 Julai 2009 tidak ada bezanya seperti hari-hari sebelumnya. Pukul lapan pagi turun ke bawah untuk sarapan dengan mak. Kalau ada masa lebih menonton televisyen sebentar sehingga 8:30 atau 8:45. Kemudian naik atas kendiri untuk ke UM. Selalu sampai pejabat sekitar 9:00 - 9:30. Apabila tiba di UM, masuk jenguk sebentar ke bilik penyelia dan bertegur sapa dengan pembantu penyelidik dan staf yang lain, dan naik atas ke Pejabat Jabatan untuk mengambil kunci bilik pascasiswazah.

Beri salam dan berbual sebentar dengan kakak-kakak di Pejabat Jabatan di tingkat 3 dan menuju ke tingkat 2; bilik pascasiswazah. Perlu buka empat kunci untuk masuk. Buka suis lampu, suis penghawa dingin. Letak beg terlebih dahulu dan menuju ke penjuru bilik untuk membuka alat penghawa dingin secara manual.

Duduk di atas kerusi kelabu (boleh kata kerusi rasmi saya) dan buka beg komputer riba dan segala keperluan.

Pada hari Rabu ini sibuk dengan jumpa kawan-kawan. Sekitar 10:10 pagi jumpa Dr. Zul untuk mohon beliau mengesahkan beberapa sijil. Kemudian berjanji untuk berjumpa dengan Datuk Abu Bakar Hamid di Jabatan Media bersama abg Ali.

Saya ke sana untuk mengambil duit bagi web Kumpulan Prihatin. Abang Ali pula ingin berbincang dengan Datuk Abu Bakar Hamid tentang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana.

Ketika berada di bilik Datuk Abu Bakar, beliau bertanya kepada kami tentang perkembangan terkini PPSMI. Saya cuma beritahu beliau apa yang saya tahu dan lanjutkan sms yang saya terima daripada abang Raimi tentang sms abang Marzuki.

Walau apa pun terjadi, usaha untuk membantah dan menghapuskan PPSMI ini harus berterusan. Namun setiap individu ada cara, ruang, keupayaan yang tersendiri. Malah setiap kita ada kekangan dan cabaran masing-masing.

Datuk Bakar mengatakan bahawa beliau akan menulis tentang hal pendidikan di Malaysia apabila selesai beberapa kerja yang beliau tertangguh ketika mengerjakan umrah baru-baru ini. Namun buah fikiran atau gambaran umum yang akan ditulis sempat beliau lontarkan kepada kami generasi muda ini.

Menurut beliau, sistem pendidikan di Malaysia ini tidak menetapkan apa standard yang perlu semua rakyat Malaysia perlu tahu. Pemimpin politik di Malaysia tidak mempunyai pandangan jauh mengenai pendidikan di Malaysia. Beliau mengambil contoh di Amerika bahawa dalam sistem pendidikan di sana, sudah ditetapkan "Whats every/average American should know".

Setiap subjek yang diajar di sekolah perlu menyiapkan setiap warganegara dengan pengetahuan asas. Seperti contoh mengenai sejarah Malaysia. Setiap rakyat Malaysia perlu tahu asas pengetahuan umum sejarah Malaysia. Saya pernah mengalami satu tragedi apabila seorang mahasiswi di sebuah IPTA terkemuka, mengatakan bahawa Dato Onn adalah Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Pelik tetapi benar.

Datuk Bakar juga ada menyebut tentang sebuah buku yang diterbitkan sekitar 1980-an mengenai idea ini. Untuk merealisasikan agenda ini, sekolah satu aliran perlu diwujudkan. Dan bahasa yang akan digunakan di sekolah ini adalah bahasa Kebangsaan.

Selesai jumpa dengan Datuk Bakar, kami menuju ke kantin dan meneruskan perbincangan. Saya menceritakan cabaran dan halangan saya kepada a.Ali. Beliau ada memberi beberapa cadangan dan pandangan. Perbualan kami ditemani hujan yang agak lebat dan cuaca menjadi dingin. Sekitar 1:40 petang kami berpisah dan meneruskan halatuju masing-masing. Abg Ali katanya ke pejabat ABIM untuk berjumpa dengan kak Jun dan a.Raimi. Pada hari ini adalah hari pertama a.Ali kerja di ABIM membantu hal teknikal seminar sempena Muktamar ABIM pada hujung bulan Julai.

Selesai solat zohor, En. Rozimi dan abg Azlan ajak minum pula. Pendek kata seharian di kantin.

Transformers

Dah berjanji dengan Rashdan dan a.bob nak tengok wayang malam ini. Bertolak dari rumah pada jam 8:00 malam. Lalulintas sesak di Jalan Datuk Abu Bakar.

Apabila tiba di PWTC berhampiran dengan sekolah Maxwell, kereta di hadapan brek mengejut! Saya pun brek mengejut. Dalam pada masa yang sama, kereta belakang saya, Kancil mengikuti rapat dibelakang.

Asap mula kelihatan...rupa-rupanya kereta kancil belakang saya eksiden dengan kereta belakangnya. Saya pun apa lagi, terus jalan jela.

Monday, June 29, 2009

Protes

Aku menulis hari ini adalah kerana ingin menyampaikan sesuatu. Mungkin berguna untuk anda, kau, dia, atau semuanya sekali.

Ada ketika aku bertanya, "Ada orang ke baca blog aku ni?". Persoalan beginilah yang aku sering fikir. "Ya...mungkin ada...mungkin tak ada juga. Tapi siapa mereka yang tersesat masuk atau baca dalam blog aku ni?".

Kenapa aku tulis berbagai jenis entri, tulisan atau sebagainya?

Hari ini penuh dengan persoalan.

Hari ini aku melangkah ke UM dengan penuh kerisauan. Sebab aku akan berhadapan dengan dirgahayu - iaitu penyelia aku. Aku mula berfikir apa pandangan atau persepsi dia terhadap aku sekarang...anda ada jawapan? Mungkin boleh berkongsi. Tak perlu tinggalkan nota atau jawapan dalam entri ini; boleh terus e-mel aku. Atau nak telefon pun boleh. Tetapi lebih baik tak payah. Simpan saja dalam hati.

Sambil menulis sambil mendengar lagu Freedom yang bertajuk "Mulanya di Sini". Habis lagu aku ulang dan ulang dan ulang.

Kalau nak dengar sekali jom...



Tenang sikit bila dengar lagu ni. Teringat pada kawan-kawan lama dahulu.

Zahreen, apa khabar?

Faizal Che Meh, apa perkembangan di Pulau Pinang?

Panda, hang macam mana sekarang?

Iswan, bila nak mai PJ?

Pak Dan, jangan lupa ajak aku pi akad nikah hang nanti.

Edi....hang sekarang tido guna tilam tak? Masih minum air suam lagi? Minum la air ais.

Mat Pon, jadi cikgu tu baik-baik.

Afiq, aku pi Perlis nanti mesti singgah rumah hang. Nak makan masakang mak hang.

Sultan, aku teringin nak tinggal kat tepi laut di Melaka. Papehal aku call.

Anuar Mohd, rajin-rajin la call atau sms. Murah ja. Miscall pun ok.

Saha, walaupun di Sarawak, jangan lupa jemput datang kenduri hang...aku datang punya!

Daeng, kau masih hutang aku makan di 'McD' 10 kali. Aku tuntut ni.

Eric, rambut kau masih tajam lagi ke? Masih AnIME lagi?

Zaki, jadi cikgu tu baik-baik la dengan anak murid. Mungkin ada kakak ke - bertuah hang.

Abu Helmi, kau lah kawan aku yang hebat dalam akademik! Salut spring pada kau.

Dan senarai kawan-kawan aku berterusan. Tapi zaman kerja ni aku yakin semua dikalangan kita telah berubah. Menjadi apa itu terpulang kepada masing-masing.

Idealis dan Realiti
Aku kini berada dalam persimpangan. Semester Kedua dah bermula. Nak teruskan atau tidak? Isi borang SPA aku dah selesai. Perancangan aku di UM sebenarnya hanyalah untuk mendapatkan segulung ijazah sarjana dalam tempoh satu tahun! Itu saja- tak lebih daripada itu.

Tapi perancangan oleh penyelia aku nampaknya lain. Aku tak mampu dan tak boleh bawa.

Memang seronok apabila dapat tawaran....tetapi realiti kehidupan aku sekarang lain. Banyak perkara yang aku perlu tanggung.

Untuk meluangkan masa selama 3 atau 4 tahun lagi cukup rumit. Dengan pendapatan yang tidak seberapa, aku jangkakang dapat bertahan selama setahun saja. Cukup! Tetapi begitulah hidup. Ada saja insiden yang 'menarik'.

Sehingga kini 85 peratus untuk aku cari jalan keluar (exit plan).

Sains Sosial Di Anak Tiri Di Malaysia
Apa yang aku dapat simpulkan adalah pengajian sains sosial di Malaysia tidak mendapat ruang yang sewajarnya.

Lihat saja biasiswa yang diberikan oleh pihak kerajaan atau pihak swasta - hanya menawarkan kursus aliran sains sahaja. Mungkin bagi mereka aliran ini mampu memberi pulangan yang lumayan dan mampu membawa kemajuan kepada negara dan syarikat tertentu.

Sesiapa nak jadi tutor atau pensyarah di sebarang IPTA atau IPTS, cukup dengan hanya sarjana muda. Kemudian akan dihantar ke luar negara atau dalam negara untuk melanjutkan dalam sarjana.

Tetapi yang untuk sains sosial bagaimana? Kebanyakkan tawaran yang dibuat hanyalah untuk sesiapa yang ingin melakukan PhD.

Sebenarnya universiti atau kolej di Malaysia ini penuh dengan warga sains.

Cara tulisan pun tak betul. Betul-betul ZzZzZZ...

Salam.

Saturday, June 27, 2009

Nak Balik

Aku

Nak

Balik.....

Tak larat duduk di rumah dot dot dot....

Dari pagi hingga petang...

Tak dapat pergi kenduri pakcik di Taman Tun...

Memang bosan...

Friday, June 26, 2009

Perbincangan Bulan Jun 2009 - Perbaharui Kefahaman

Hari ini saya tekadkan azam, kembalikan komitmen dan akan bekerja bersungguh-sungguh. Minggu ini dan minggu lepas merupakan hari 'lumpuh' bagi penulis. Setiap hari ada saja keluhan, rasa tidak puas hati dan sering berfikiran negatif. Namun apabila sekembali daripada pertemuan bulanan sebentar tadi segalanya berubah - Alhamdulillah!

Memang tidak dapat dinafikan ada masa kita di bawah dan ada ketika rasa senang (atas). Itulah yang dipanggil roda-roda kehidupan.

Kami berbincang mengenai tafsir Haji Hamka (Pak Hamka) yang menekankan ayat "Tujukanlah kami Jalan Yang Lurus" (Siratulmustaqim). Pak Hamka memberi gambaran, analogi atau rasional yang mudah difahami oleh setiap peringkat masyarakat untuk memahaminya. Menurutnya lagi, kita perlu menetapkan fokus apa yang ingin kita capai. Dalam erti kata lain, fokus itu merupakan puncak kepada segalanya dan digambarkan puncak berkenaan sebagai untuk mendapat "Keredhaan Allah".

Apabila kita ada fokus iaitu puncak, perjalanan dari titik permulaan hingga ke puncak akan mengundang banyak perkara. Sudah pasti perjalanan untuk mencapai puncak tidak senang dan amat sukar. Pada ketika inilah kita memerlukan "kompas" untuk menunjuk arah apabila kita sesat dalam mencari titik puncak. Kompas di sini dapat diertikan sebagai "al-Quran".

Masyarakat Islam di Turki kini tidak seperti dahulu lagi menurut pembentang. Keadaan sudah berubah daripada "sekular" ke "Islam". Jika dahulu ramai yang tidak bersembahyang di masjid menunaikan solat lima waktu, kini apabila solat Subuh - keadaan penuh sesak dan sama seperti menunaikan solat Jumaat di Malaysia. Apa yang dapat dikongsi oleh pembentang kepada penulis bahawa umat Islam di Turki amat menghormati Quran. Jangan sesekali kita letak Quran di atas lantai kerana bagi mereka tempat Quran bukan di situ, tetapi ditempat yang lebih mulia, suci dan bersih. Pantang mereka lihat kalau kita letak Quran atas lantai atau di atas peha/lutut, menurut pembentang yang pernah ke Turki baru-baru ini.

Sekiranya kita mendambakan Quran masuk ke dalam jiwa, maka selayaknya kita terlebih dahulu melayan Quran seadil-adilnya. Perlu beradab dengan Quran. Sama seperti beradab dengan guru. Dalam konteks beradab dengan guru ini, penulis mendapati beberapa minggu lepas penulis terlepas pandang dan bersikap dingin. Guru perlu dihormati walau apa jua sekalipun! Baik atau buruknya perlu kita rahsiakan kerana kita semua manusia - hakikat untuk tidak sempurna dan melakukan dosa tetap ada.

Sekiranya diberi pilihan antara "Ilmu" dan "Harta", mana satu yang akan penulis atau pembaca pilih? Terpulang kepada individu untuk memilih dan berfikir.

Penulis memilih "Ilmu".

Dan sebab itulah penulis masih berstatus "Pelajar" walaupun sebahagian besar kawan-kawan kini sudah bekerja besar, berkeluarga, gaji besar, kereta besar dan sebagainya.

Berbincang dengan seorang sahabat mengenai realiti di universiti dan melihat sebilangan pelajar, pensyarah (baik berpangkat Doktor, Prof Madya atau Profesor) yang bersikap sebaliknya - tidak kena sebagai orang yang berilmu. Sahabat berkenaan berkata itulah pengalaman beliau sewaktu melanjutkan diperingkat sarjana di IPTA - realiti sebenar universiti. Menurutnya lagi, memang mereka ada 'ilmu' tetapi sikap mereka yang sebaliknya. Ilmu yang tidak dapat diserap untuk melakukan tindakan yang positif.

Kami berboral, berbual dan berbicara....Kemudian sahabat berkenaan bertanyakan tentang tesis - sudah berapa muka surat siap atau bab? Penulis dengan selamba berkata satu patah perkataan atau huruf pun tak tulis lagi. Walhal kena tukar tajuk dan dah hampir habis satu semester! Terkejut sahabat....

Jadi....apa lagi...Teruskan buat kerja.

Tuesday, June 23, 2009

Entah Luahan

Entah la.

Rasa macam buat master ni sia-sia saja.

Salah pilih jalan.

Rasa terkongkong dengan keadaan begini.

Usah harapkan pertolongan orang atas.

Kerana mereka hanya menyampaikan kemanisan.

Selalu saja salahkan mereka dan dia.

Boleh juga cari alasan salahkan diri sendiri.

Mari cuba.

Tak berani mencuba.

Tak bijak cari masa lapang.

Habiskan masa dengan perkara sia-sia.

Tidak bertanya.

Hanya duduk diam saja.

Tiada inisiatif sendiri.

Tiada usaha.

Dan seterusnya.

Bagaikan dalam mahkamah.

Kedua-dua peguam akan memberi apa saja alasan kepada hakim.

Hakim yang bijaksana lagi bijaksini perlu mentafsir hujah-hujah peguam.

Jika peguam yang kata aku bazir masa fasih berkata-kata maka menanglah ia.

Jika peguam aku tidak fasih maka kalahlah aku.

Dan sebaliknya juga.

Satu semester bagaikan air yang lalu.

Oh....mudah saja tukar tajuk dan bagi ini bagi itu.

Baru aku tahu dalam universiti baik pensyarah atau Profesor ada egonya.

Ada martabatnya. Ada kepentingannya.

Tetapi bila berhadapan dengan seorang pelajar daif;

Lupakanlah itu semua! Kerana lawanmu bukan pelajar itu.

Walaupun ingin mendidik pelajar itu; tetapi biarlah berlaku ADIL.

Jangan ingat semua manusia sama sahaja.

Jika kau boleh buat sesuatu perkara, jangan ingat pelajar itu boleh lakukan juga.

Jika kau boleh jadi Perdana Menteri, jangan bilang pada semua pengikutmu bahawa mereka juga boleh jadi Perdana Menteri.

Sebagai pelajar aku rasa macam kuli; selalunya rasa macam BALACI.

Aku rindukan waktu mahasiswa.

Bersama kawan-kawan melakukan agenda perubahan.

Bagaimana untuk mengubah dunia dan menguatkan dunia Islam. Setiap malam hal yang sama.

Walaupun bicara setiap malam, esoknya lakukan tindakan.

Aku rindu sewaktu bekerja di ABIM.

Kerana aku memberi sepenuhnya kepada kerja aku. Walaupun tidak seberapa, namun keseronokan dan kebersamaan dirasai.

Abang Ipin, Abang Yusni, Abang Bob dan Rashdan. Aku seronok bekerja dengan mereka.

Namun rumah lain-lain. Kolam lain-lain. Segalanya tidak akan sama.

Lagi 3 bulan, cukup setahun aku di UM.

Satu semester habis begitu saja.

Hingga saat ini.....

Aku berfikir, "Adakah masa aku di sini hanya sia-sia?"

Sunday, June 21, 2009

Rasa Kosong

Aku dapat rasakan hari demi hari semakin kosong.....

Tidak seperti dahulu lagi.....

Semuanya bagai tidak ada yang kena.....

Hanya fikir di minda.....

Untuk berkongsi orang ramai tidak.....

Lemah....cukup lemah.....

Hanya mampu memandang.....

Keadaan sewaktu mahasiswa tidak sama kini.....

Aku ditekan....ditolak....dihumban sedalam-dalamnya.....

Membuatkan aku berasa semua pekara ini 'palsu'....

Banyak sungguh jalan....tapi yang mana?

Jalan ini agak mudah...jalan itu mungkin sukar....jalan di sana tidak pasti....

Yang mana?

Aku kini digasak-gasak dengan 'realiti'....Dulu aku hidup dengan 'idealis'...

Kini aku bagaikan bernafas dalam lumpur.....

Disebalik 'kepalsuan' ini...Keluarga dan kawan yang setia sentiasa ada....

Harapan kepadaNYA aku pohonkan....

Jika gagal di sini...Moga di sana aku akan bahagia

Bilik, Petaling Jaya
6:31 petang / 21 Jun 09

Saturday, June 20, 2009

Akaun Internet Baru - P1 WIMAX

Hari ini kakak menutup akaun streamyx dan membuka akaun internet yang baru iaitu P1 WIMAX. Perlu membayar RM 99 setiap bulan. Aku dapati penggunaan WIMAX lebih mudah dan senang berbanding streamyx.

Dalam pada masa yang sama memudahkan kerja aku untuk dilakukan di rumah. Syukur alhamdulillah.

Petang tadi ke UM dan membantu abang Ali untuk kemasukan ke UM. Dalam pada masa yang sama kami berborak mengenai politik Malaysia khususnya mengenai PAS yang kini menghadapi 'krisis dalaman'.

Beliau ada berkata bahawa pernah ditawarkan untuk membuat buku mengenai Nizar Jamaluddin oleh sebuah syarikat penerbit yang terkenal. Namun ada kekangan dan perkara-perkara lain yang perlu dibuat menjadikan projek tersebut tergendala.

Walau apa pun aku berdoa dan berharap agar beliau dapat melanjutkan pelajaran ke UM dalam bidang yang dihajati.

Baru sebentar tadi Saifullah datang ke rumah. Seperti biasa kami berborak selama 2 ke 3 jam. Menyentuh banyak perkara dan individu tertentu.

Biarlah ini semua....